About

19 September 2010

Majlis Iftar Pelajar Tingkatan 4 (30 Ogos 2010)

Buletin hasil karya Mohd. Fahim (4UKM)

SMKDS - Majlis Iftar telah diadakan buat julung kalinya pada 30 Ogos 2010 bersamaan 20 Ramadan 1431 setelah hampir 7 tahun SMK Desa Skudai ditubuhkan. Penganjuran majlis ini merupakan cetusan idea para pelajar Tingkatan 4 sesi 2010. Majlis Iftar ini telah berlangsung di surau SMKDS dan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Majlis ini dimulakan dengan tayangan video tentang zaman kegemilangan Islam yang disampaikan oleh wakil pelajar iaitu Nur Farahin Bt Samsudin. Tayangan video ini bertujuan memberi pengajaran dan kesedaran kepada para pelajar tentang semangat yang perlu ada ketika menuntut ilmu.

Sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang, para pelajar yang hadir telah dijamu dengan sebiji kurma dan minuman sebagai juadah ringkas berbuka puasa yang mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. Ini disusuli dengan solat Maghrib secara berjemaah dengan diimamkan oleh pelajar Tingkatan 4, Hafizul B. Abd Wahab.

Setelah menunaikan solat Maghrib, pelajar kemudiannya dihidangkan dengan juadah istimewa iaitu nasi ayam madu. Makanan dihidangkan di dalam dulang yang dikongsi bersama empat orang pelajar. Perkongsian seperti ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di antara para pelajar dan memupuk semangat perkongsian di antara sesama Islam.

Majlis diteruskan dengan penyampaian tazkirah oleh wakil pelajar, Nur Farahin Bt Samsudin sambil diselangi dengan tayangan video. Mesej yang ingin disampaikan melalui tayangan video adalah mengenai kesedaran pelajar tentang unsur – unsur penghinaan Islam yang terdapat di internet. Justeru kita perlu sedar dan berwaspada dengan anasir-anasir negatif yang disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab melalui teknologi-teknologi yang canggih seperti internet dan media massa.

Kemudian para pelajar menunaikan solat Isyak dan solat Terawih secara berjemaah yang diimamkan oleh pelajar sendiri, iaitu Hafizul Bin Abd Wahab.

Majlis Iftar ini telah berlangsung dengan jayanya dan turut dimeriahkan dengan kehadiran guru-guru untuk memberikan sokongan kepada pelajar-pelajar. Antara guru-guru yang hadir bersama ialah Ayahanda Tuan Haji Shaharuddin, Ustaz Zakir Poniran, Puan Nor Arba’ayah, Encik Hunaidi dan guru-guru praktikal iaitu Encik Amry, Cik Afifah dan Cik Dewi.


No comments:

 
Blogger Templates