About

13 February 2009

Doa Senjata Mukmin




DOA SENJATA MUKMIN
Di saat manusia tidak dapat lagi berbuat apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi bantuan yang diperlukan, ketika itu manusia akan sedar bahawa sesungguhnya pada Allah saja yang dia mampu memohon pertolongan.

Doa adalah senjata umat Islam. Apabila seorang muslim dan seorang bukan Islam sama-sama berusaha sedaya upaya menggunakan akal dan tenaga mereka dalam mengerjakan sesuatu, umat Islam memiliki satu lagi kelebihan iaitu berdoa, berharap dan bertawakal.

Tawakal adalah perkataan Arab yang bermaksud pergantungan hati pada Allah dalam semua perkara selepas berusaha atau berikhtiar.

Firman Allah dalam Surah Al-Imraan, ayat 159, yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah amat kasih kepada orang yang bertawakal.”

Tawakal pula boleh dibahagi kepada tiga. Pertama, menggantungkan harapan kepada Allah kerana yakin dan percaya dengan kekuasaan-Nya.

Hati individu itu akan merasa tenang dan tenteram dan tidak mudah berpaling daripada jalan Allah.

Kedua, kepercayaan dan pergantungan yang lebih hebat dari peringkat pertama, hingga sebarang musibah yang menimpa dirinya akan segera dirujuk di jalan Allah.

Ketiga, seseorang itu tunduk patuh kepada Allah dengan kerendahan jiwa, rohani dan jasmani serta menunggu sebarang perkara yang ditakdirkan Allah berlaku ke atasnya dengan hati akur dan terbuka.

Imam al-Ghazali berkata, tawakal adalah sesuatu yang bersumberkan makrifat (pengenalan) sejati kepada Allah. Pengertian makrifat itu pula ialah tauhid yang dapat diterjemahkan dalam kata, “Tidak ada Tuhan yang Esa melainkan Allah, dan Dia adalah pemilik alam serta menguasai semua perkara.”

Pernyataan tauhid ini adalah satu pengisian kepada hati manusia yang beriman. Bagaimanapun, tauhid itu sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat.

Peringkat pertama: Sesiapapun akan mampu mengatakan bahawa Allah itu adalah satu dengan lidahnya, tetapi mungkin dalam hati kecilnya tidak diiringi dengan apa-apa makna kerana tidak ada keyakinan hakiki.

Peringkat kedua: Mempercayai terhadap apa yang dinyatakan hati, tetapi tidak pula mempunyai pengetahuan mendalam berkaitan hal itu.

Peringkat ketiga: Penerimaan kata-kata tauhid yang dinyatakan sebagai menggambarkan apa yang dilihat oleh mata adalah selari dengan apa yang iktiraf hati.

Sumber : http://serikasih.blogspot.com/2008/10/doa-senjata-muslim.html



Berdoa Ketika Susah dan Senang

Setiap kali selepas menunaikan solat lima waktu, kita digalakkan memanjatkan doa kepada Allah memohon supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan diberikan petunjuk serta hidayah semoga kita tergolong sebagai hambanya yang terhindar daripada azab api neraka.

Sesungguhnya doa adalah sebahagian daripada pelengkap ibadat yang wajar dilakukan seluruh umat Islam kerana Allah suka mendengar doa hamba-Nya.

Berkata seorang sahabat Rasulullah SAW, Fudalah Ibnil Ubaid: "Sesungguhnya Allah mendengar dengan penuh minat akan doa hambanya lebih daripada minat seorang tuan mendengar suara hamba perempuannya yang cantik sedang menyanyi."

Doa adalah perbualan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah dan setiap yang dimohon akan didengar Allah. Allah tidak suka kepada umatnya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya

Selepas berdoa disarankan supaya bertawakal kepada Allah supaya segala permohonan serta doa akan dimakbulkan. Allah berfirman yang bermaksud: "Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendahkan diri dan dengan suara yang perlahan serta bermohonlah kepada-Nya dengan perasaan takut serta penuh harapan, sesungguhnya rahmat Tuhan itu adalah dekat kepada orang yang berbuat kebajikan."

Nabi Muhammad SAW berpesan kepada umatnya supaya sentiasa berdoa kepada Allah sama ada pada masa senang atau susah. Jangan sekali-kali berasakan terlalu lambat doa hendak dimakbulkan hingga kita cepat berputus asa daripada rahmat Allah.

Sabda Nabi Muhammad SAW: "Jika anda mengenang Tuhan pada waktu senang nescaya Ia akan mengenang anda pada waktu anda susah".

Sesuatu yang sering diingatkan Nabi Muhammad SAW ialah supaya jangan memakan sesuatu yang haram, kerana doa daripada mereka memakan benda haram tidak akan dimakbulkan Allah.

Sabda Nabi Muhammad SAW: "Barang siapa yang ingin supaya Tuhan memakbulkan permohonan doanya pada waktu susah dan sempit maka hendaklah ia memperbanyakkan doa pada waktu ia senang lenang."

Tidaklah semestinya setiap doa itu akan segera dimakbulkan Allah. Oleh itu, kita sewajarnya jangan cepat berputus asa kerana dalam hal ini mungkin ada rahsia di sebaliknya atau padanya tersembunyi beberapa kebaikan dan manfaat yang tidak kita ketahui maksudnya.

Maka oleh itu adalah lebih afdal bagi kita untuk terus menerus berdoa kerana Allah sudah berjanji dalam firman-Nya yang bermaksud: "Bermohonlah kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankan segala permohonan kamu."

Jika menoleh kembali ke zaman silam, nescaya kita dapati bahawa nabi, khalifah serta sahabat Rasulullah SAW sering memanjatkan doa serta bermohon kepada Allah supaya mereka diselamatkan daripada bencana atau musibah ancaman musuh.

Apa yang berlaku kepada Nabi Musa sewaktu baginda dikejar tentera Firaun, lalu Nabi Musa berdoa serta bermohon kepada Allah. Maka terbelah laut dan selamatlah Nabi Musa daripada ancaman Firaun durjana.

Demikian juga dengan Nabi Ibrahim yang dicampakkan ke dalam api, lantas Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah, lalu api itupun serta merta menjadi sejuk dan dingin. Sesungguhnya banyak doa ada hikmah dan fadilat tinggi, terutama doa sering dibaca Nabi Muhammad SAW.

Antara doa masyhur yang sering dibaca Nabi ialah: "Ya Allah ya Tuhanku, aku bermohon keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah ya Tuhanku, jadikanlah semua perkara kami berakhir dengan baik dan selamatkan kami daripada menerima malu di dunia dan mendapat azab di akhirat. Ya Allah ya Tuhanku, berikan kami rezeki yang halal dan jadikanlah kami seorang yang salih. Ya Allah ya Tuhanku, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan lindungilah kami daripada seksa api neraka."

Sesiapa membiasakan dirinya berdoa sepanjang masa, nescaya akan terselamat serta terpelihara, mendapat kemenangan serta kebahagiaan. Sebaliknya, sesiapa tidak berdoa maka apabila ditimpa bencana atau musibah janganlah menyalahkan takdir Tuhan. Justeru, tidaklah Allah itu bersikap zalim dan kejam terhadap hambanya.

Antara doa paling cepat dimakbulkan Allah ialah doa orang yang sentiasa mengekalkan solat, doa orang bermusafir, doa mereka yang berpuasa dan doa mereka yang teraniaya.

Marilah kita menyedari hakikat bahawa doa mereka yang beramal salih adalah antara penyumbang kepada kesejahteraan dan keselamatan sesebuah masyarakat dan negara.

Segala bencana seperti kemarau, banjir, ribut taufan atau gempa bumi yang menimpa sesebuah negara adalah balasan Allah terhadap mereka yang melupakan perintah Allah.

Oleh Zahari Hasib

Sumber : http://serikasih.blogspot.com/2008/10/berdoa-ketika-susah-dan-senang.html


Panduan Ketika Berdoa

Dipetik dari buku “Kaifiyat Mempertajam Mata Hati Dalam Mengenal Allah” – Syaikh Ibnu ‘Athaillah Al – Sukandari.Dari Imam Al-Ghazali – beberapa adab yang mesti dipatuhi dan dilaksanakan oleh orang yang sedang berdoa:

ADAB ORANG YANG SEDANG BERDOA

1. Dilakukan pada saat-saat yang mulia, seperti hari ‘Arafah, bulan Ramadhan, hari Jumaat, antara dua khutbah solat Jumaat, antara azan dan iqamah dan sebagainya.

2. Dilakukan dengan penuh khidmat

3. Menghadap ke kiblat dan menadahkan kedua-dua belah tangan.

4. Merendahkan suara, sekadar dapat didengar oleh telinga sendiri.

5. Menggunakan bahasa yang sederhana atau lebih diutamakan menggunakan doa-doa yang berasal daripada Rasulullah saw, para sahabat dan tabiin.

6. Khusyuk dan merendahkan diri.

7. Meyakini bahawa doanya akan dikabulkan dan tidak merasa kecewa atau berputus asa apabila doanya belum dikabulkan.

8. Mengulang-ulangi doanya dengan penuh keyakinan.

9. Memulai doanya dengan menyebut nama Allah, memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi Muhammad saw, serta diakhiri dengan bacaan hamdalah atau kalimah yang memuji Allah.

10. Melaksanakan adab batin, yakni:

i. Bertaubat sebelum berdoa.

ii. Menghadapkan diri sepenuhnya kepada Allah.

iii. Makan dan minum serta berpakaian dari barang yang halal.

iv. Tidak meminta perkara-perkara yang mustahil.

v. Tidak meminta untuk mencelakakan orang lain, kecuali orang yang zalim.

Sumber: http://urutdanrawat.com/



SEMBILAN PETUA DOA DIMAKBUL

Berikut antara sembilan petua daripada Rasulullah s.a.w. untuk mencapai doa mustajab.

1. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Doa antara azan dan iqamat tidak akan ditolak."

2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: "Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: "Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya.

3. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Tiga orang yang tidak ditolak doanya iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka."

4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Aku dilarang membaca al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat antara hamba dan Tuhan-Nya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu."

5. Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah kerana sesungguhnya binatang itu melihat malaikat. "Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah daripada godaan syaitan kerana binatang tersebut melihat syaitan."

6. Ubadah bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. "Apabila beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah."

7. Ata bin Abi Rabah berkata: "Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang membaca surah Yasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan."

8. Hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: "Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: 'Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.'

9. Hadis daripada Abu Hurairah: Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: "Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bila mana seorang Muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu."

Sumber : http://serikasih.blogspot.com/2008/12/sembilan-petua-doa-dimakbul.html

 
Blogger Templates