About

24 January 2009

Tepuk Dada Tanya Selera

Seronok Belajar Oleh Dr Ismail Zain

Kata-kata di atas menunjukkan diri kita sendiri bertanggungjawab terhadap apa yang diingini atau apa yang akan berlaku hasil daripada kehendak sendiri.

Kehendak seseorang itu kebiasaannya terlalu banyak tanpa sekatan. Jika kehendak berpihak kepada yang baik maka segala tindakan dan hasilnya nanti dapat memberi menfaat kepada diri. Sebaliknya jika kehendak itu berpihak kepada yang buruk, maka padahnya nanti akan mengecewakan diri sendiri.

Dalam hal ini disiplin diri adalah penting agar segala kehendak yang ada pada diri kita itu dapat dikawal dan akhirnya memberi keseronokan kepada diri terutamanya ketika belajar.

Disiplin diri merupakan satu situasi yang dikawal oleh diri sendiri ke arah mematuhi arahan atau peraturan. Sebagai contoh bagi murid-murid beragama Islam diwajib mengamalkan segala rukun yang terdapat dalam ajaran Islam seperti menunaikan solat serta amalan yang lain. Manakala di sekolah murid harus mematuhi peraturan sekolah seperti berpakaian seragam, berkasut serta berambut kemas.

Murid yang berdisiplin sentiasa berada dalam keadaan yang tenang kerana tidak ada masalah yang dihadapi dan tidak ada tindakan disiplin ke atas dirinya. Manakala murid yang tidak berdisiplin sentiasa berada dalam keadaan gelisah kerana pelbagai masalah dan tindakan berlaku pada dirinya. Justeru, murid seperti ini tidak mampu menumpukan pelajaran dengan baik malah ia lebih suka ponteng berbanding dengan murid yang berdisiplin yang sentiasa ceria dan seronok belajar. Akhirnya pelajar yang tidak berdisiplin akan gagal dalam peperiksaan bukan kerana ia bodoh tetapi dirinya sendiri diperbodohkan oleh tindakannya sendiri. Di sebaliknya murid yang berdisiplin akan mencapai kejayaan kerana keadaan yang tenang dan ceria itu memotivasikan dirinya untuk berusaha dengan lebih tekun untuk mencapai kejayaan.

Cara untuk mendisiplinkan diri:

Kawal keinginan: Jangan mengikut nafsu dan keinginan yang keterlaluan.

Contoh: Hadkan waktu bermain, jauhi daripada merosak harta benda sekolah seperti tandas, cermin tingkap dan sebagainya.

Eratkan perhubungan dengan rakan: Berkawan dengan semua murid tanpa mengira bangsa, agama atau taraf kedudukan..

Contoh: Jangan hanya berkawan mengikut kumpulan yang tertentu sahaja. Elakkan daripada rasa syak wasangka atau iri hati terhadap rakan. Sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni ketika berinteraksi dengan rakan seperti bersopan santun dan menghormati rakan. Jangan menghina atau merendahkan kedudukan rakan yang lain. Jangan berlagak sombong. Bantu rakan kita dengan ikhlas jika mereka memerlukan pertolongan semasa dalam kelas atau dalam aktiviti kokurikulum. Jangan memusuhi rakan-rakan kita.

Buat penjadualan: Penjadualan membantu diri kita merancang masa dengan baik dan mengelakkan daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Contoh: Buat jadual waktu untuk rumah dan juga rancang apa yang hendak dilakukan pada waktu yang terluang di sekolah seperti pada waktu rehat selepas makan, pada waktu pagi sebelum perhimpunan atau pada waktu pertukaran guru antara subjek. Kebiasannya waktu beginilah yang akan digunkan oleh murid untuk melakukan tindakan yang melanggari peraturan sekolah.

Sentiasa bertaqwa dan mengingati Allah: Apabila kita sentiasa bertaqwa dan mengingati Allah diri kita akan terpelihara daripada melakukan perkara-perkara yang tidak diingini. Contoh: mengerjakan solat secukupnya, membaca doa yang sesuai pada waktunya, membaca ayat-ayat suci Al-Quran, berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta menghormati ibu bapa, guru, orang dewasa dan akan-rakan.

InsyaAllah dengan tindakan ini disiplin dapat dikekalkan pada diri kita tanpa paksaan tetapi di atas kehendak dan kesedaran diri sendiri.

Aplikasi pembelajaran kooperatif dan kolaboratif

Berpandukan petikan di atas, cadangkan bagaimana untuk mengamalkan nilai-nilai murni dan kesan kebaikannya terhadap murid-murid. Anda boleh merujuk bahan bercetak atau melayari Internet untuk mendapat isi-isi penting. Gunakan perisian yang sesuai untuk mencatat dan menyenaraikan isi-isi tersebut. Buat persembahan dalam kelas dan paparkan hasilan anda di papan pamer di kelas. Lakukan tugasan ini secara berkumpulan.

Sumber ini dipetik dari laman web http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2009&dt=0119&pub=DuniaPendidikan&sec=Motivasi&pg=mo_01.htm

No comments:

 
Blogger Templates