About

Ucapan

Ucapan

24 January 2009

Mewujudkan Suasana Seronok Belajar



Seronok Belajar Oleh Dr Ismail Zain

Pembelajaran yang berkesan ialah pembelajaran yang menyeronokkan. Apabila keseronokan dirasai, segala keletihan, kerisauan atau kebosanan terhadap pelajaran dapat diatasi.
Oleh itu setiap murid haruslah bersedia agar diri mereka berada dalam keadaan yang seronok terutamanya ketika belajar.

Bagaimanakah caranya untuk mewujudkan keseronokan pada diri ketika belajar?

Kekemasan: Pakaian yang kemas, rambut yang terurus, susunan buku yang baik

Caranya: Pastikan pakaian sekolah berada dalam keadaan bersih, kasut tidak kotor, rambut lelaki digunting dengan baik, rambut perempuan diurus dengan kemas serta bertudung, buku yang dibawa ke sekolah berada dalam keadaan yang baik tidak terkoyak dan mudah diambil apabila diperlukan.

Kesihatan: Diri yang sihat tanpa penyakit, keadaan bilik darjah yang bersih.

Caranya: Pastikan murid membersih diri setiap hari. Pastikan kawasan bilik darjah dan sekolah bebas daripada wabak penyakit. Adakan senarai tugas untuk membersih kawasan bilik darjah masing-masing. Guna tandas dengan baik. Jangan makan makanan yang tercemar atau terdedah.

Tingkah laku/budi bahasa: Cara berbual dengan guru dan rakan. Tidak melanggari peraturan sekolah. Tidak ponteng sekolah.

Caranya: Perlu menghormati guru serta patuh segala arahan terutama apabila guru memberi tugasan kepada murid. Rakan juga harus dihormati. Jangan bergurau sehinggakan menyakiti hati rakan dan berakhir dengan perkelahian. Rajin ke sekolah, jangan terpengaruh dengan remaja luar yang ponteng sekolah.

Minda sihat: Mampu menggunakan fikiran ketika belajar

Caranya: Sentiasa berfikir sewaktu belajar. Banyak berinteraksi dengan guru dan rakan. Banyak membuat latihan.

Jiwa tenang: Menumpukan sepenuh perhatian ketika belajar

Caranya: Tidak menaruh rasa benci, marah, iri hati terhadap rakan atau guru. Sentiasa bersyukur di atas keselesaan yang dirasai. Sentiasa muhasabah diri untuk mengelak rasa bongkak dan sombong.

Cara-cara yang dinyatakan mampu menjadikan bilik darjah itu sebagai “rumah kedua” untuk murid-murid. Apabila diri dan bilik darjah dalam keadaan yang selesa maka pembelajaran dapat berlaku dengan baik. Tidak ada rasa bosan di jiwa kita malah ada pula murid yang suka datang ke sekolah untuk belajar walaupun pada waktu petang atau pada hari cuti hujung minggu.

UJI KREATIVITI ANDA!

Sediakan satu poster yang mengandungi langkah-langkah mewujudkan keseronokan belajar. Anda boleh menciptanya dengan menggunakan sebarang perisian berbantukan komputer yang sesuai atau melalui lakaran tulisan tangan. Sisipkan juga gambar/lukisan/lakaran untuk dijadikan hiasan pada poster anda. Lekatkan di papan pamer kelas anda.

No comments:

 
Blogger Templates