LAPORAN HARI KO-KURIKULUM 2011
Tanggal 1 Oktober 2011, Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Skudai (SMKDS) telah mengadakan Hari Ko-kurikulum kali ke-9 bagi tahun 2011. Hari Ko-kurikulum tersebut telah berlangsung dengan lancar mengikut perancangan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan sekolah dan ahli-ahli jawatankuasa. Pada tahun ini, Yang Berusaha Dr Yazid Bin Yahya, Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) telah berbesar hati merasmikan majlis dan memeriahkan lagi majlis tersebut.
Objektif Hari Ko-kurikulum adalah untuk menyemai bakat kepimpinan pelajar-pelajar dalam kegiatan unit beruniform dan persatuan. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama dalam kalangan pelajar yang berbilang kaum di samping membantu pelajar-pelajar membentuk sahsiah, disiplin dan kepimpinan yang telus dalam aktiviti kokurikulum. Berlangsungnya Hari Ko-kurikulum ini juga adalah bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada para penyumbang jasa dan bakti dalam aktiviti kokurikulum.
Majlis dimulakan dengan ketibaan dif-dif jemputan dan para tetamu yang diiringi dengan paluan kompang oleh pasukan kompang SMKDS. Selepas itu, persembahan piano sebagai tanda persembahan alu – aluan. Seterusnya, bacaan doa oleh Ustaz Madheil Azaeim Bin Ahmad Puhad. Selepas itu, hadirin diminta berdiri untuk menyanyikan lagu Negeri Johor dan lagu Sekolah. Seterusnya, majlis tidak akan sempurna sekiranya tiada ucapan alu-aluan dari bonda Pengetua yang dikasihi, Puan Hajjah Fouziah Binti Abu Hamid diikuti dengan ucapan daripada dif kehormat iaitu Dr Yazid Bin Yahya, yang seterusnya merasmikan majlis yang gilang-gemilang ini.
Majlis kemudiannya disajikan dengan persembahan zapin. Usai persembahan zapin, majlis penyampaian anugerah dan sijil kokurikulum kepada para pelajar yang cemerlang dalam bidang kokurikulum. Pengiktirafan ini secara tidak langsung dapat menaikkan semangat pelajar-pelajar yang seterusnya akan meningkatkan penglibatan mereka dalam bidang kokurikulum. Guru-guru yang telah menyumbangkan tenaga dalam memantapkan pengurusan Kokurikulum SMKDS sepanjang tahun 2011 turut diberi pengiktirafan dan penghormatan dalam majlis ini.
Selepas itu, nyayian lagu "Negaraku" bergema di kawasan sekolah. Para pelajar, guru dan jemputan menyanyikan lagu "Negaraku" dengan penuh semangat. Selesai menyanyikan lagu "Negaraku", para dif kehormat melawat ke bilik pameran. Terdapat pelbagai jenis pameran iaitu pertunjukan silap mata, pameran model binaan bangunan pelajar jurusan lukisan kejuruteraan, dan pameran kesenian mengikut kaum iaitu cina dan india. Pameran Kereta Solar turut diadakan oleh pelajar yang telah mewakili negeri Johor ke Pertandingan Kereta Solar Peringkat Kebangsaan 2011. Gerai-gerai makanan juga telah dibuka yang melibatkan para guru dan pelajar.
Para hadirin dihiburkan pula dengan pelbagai jenis persembahan pelajar dan pertandingan. Persembahan pelajar dimulakan dengan nyanyian lagu inggeris secara berduet oleh dua orang anak perempuan Puan Cecillia yang merupakan salah seorang tenaga pengajar di SMKDS. Para penonton seolah-olah terpaku dengan alunan suara dan muzik yang didendangkan. Seterusnya, persembahan seni mempertahankan diri Kelab Taekwondo yang memukau para hadirin yang menyaksikannya.
Majlis diteruskan dengan paluan gendang India oleh para pelajar India yang sangat berbakat besar. Selepas itu, seorang pelajar perempuan India telah mempersembahkan tarian klasik kaum India. Para penonton yang menyaksikan sangat berasa kagum dengan gerak tarinya yang cekap. Majlis kemudiannya disambung semula dengan persembahan tarian Singa dan gendang Cina yang sering mendapat undangan daripada pihak luar sekolah untuk mengadakan persembahan.
Majlis diteruskan lagi dengan satu persembahan yang telah berjaya memukau para hadirin dengan dendangan alunan petikan piano yang sungguh mengasyikkan yang dimainkan oleh para pelajar SMKTDS. Selain itu, pelajar sesi petang juga membuat persembahan yang agak unik iaitu dikir barat serta tarian yang dilakukan secara serentak. Pasukan Yoyo sekolah juga turut mempersembahkan aksi hebat mereka untuk tatapan penonton yang hadir.
Hari Ko-kurikulum ini turut dimeriahkan dengan beberapa pertandingan seperti pertandingan pecah belon, pertandingan membalut hadiah, pertandingan menggubah hantaran dan pertandingan kembar siam. Kemuncak majlis ialah penyampaian hadiah kepada para pemenang yang telah memenangi acara-acara yang dipertandingkan.
Kesimpulannya, program sambutan Hari Kokurikulum ini diharapkan dapat diteruskan pada tahun-tahun berikutnya agar usaha untuk melahirkan bakat dan potensi dapat dicapai seterusnya merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan pelajar yang seimbang dari segi emosi, jasmani, intelek dan rohani.
Disediakan oleh,
Puan Zulhaimah Binti Mohd. Isa
Persembahan Piano Sempena Hari KoKurikulum SMKTDS 2011.MOV
Persembahan Piano, Biola dan Gitar Sempena Hari KoKurikulum SMKTDS 2011
Persembahan Dikir Barat Pelajar Sesi Petang Sempena Hari KoKurikulum SMKTDS 2011
No comments:
Post a Comment