04 July 2011

KEJOHANAN OLAHRAGA SMKTDS KALI KELAPAN 2011 (30 JUN 2011)

Laporan Kejohanan Sukan Padang & Balapan SMK Taman Desa Skudai Kali Ke-8
Tahun 2011

Tarikh : 30 Jun 2011
Hari : Khamis
Masa : 7.00 pagi – 12.00 tengahari
Tempat : Padang SMK Desa Skudai


Pada 30 Jun 2011 iaitu bersamaan dengan hari Khamis yang lalu, SMK Desa Skudai telah melaksanakan Kejohanan Sukan Padang & Balapan SMK Taman Desa Skudai yang ke-8 bertempat di padang SMK Desa Skudai dengan penuh meriah dan berwarna warni. Acara gemilang ini telah diadakan dalam keadaan cuaca yang redup pada mulanya, tetapi bertukar menjadi hujan semasa pertengahan majlis. Namun begitu, semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh guru-guru dan para pelajar menunjukkan suasana hujan bukanlah satu halangan bagi meneruskan Kejohanan Sukan Padang & Balapan SMK Taman Desa Skudai kali ini. Para pelajar telah pun berkumpul di Dataran Wawasan seawal jam 7.00 pagi untuk mendengar taklimat sukan, keselamatan dan disiplin oleh En. Jefri Bin Sarit bersama-sama dengan Setiausaha Sukan SMK Desa Skudai iaitu En Azlan Haniff Bin Zakaria. Pada jam 7.30 pagi, semua pelajar perbarisan mengambil tempat masing-masing dan di sekitar padang untuk menjalankan tugas yang diamanahkan.

Tepat jam 7.40 pagi, ketibaan para tetamu kehormat merangkap ahli majlis Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah iaitu En Jason Teoh Siew Hock dan VIP yang lain telah diarak dengan paluan kompang oleh pasukan kompang sekolah ke khemah tetamu dan mengambil tempat masing-masing. En Jason Teoh Siew Hock telah berbesar hati untuk menerima tabik hormat daripada Ketua Komandan iaitu Saudara Norhaizam Bin Mohd Salleh diikuti oleh pasukan pembawa bendera kejohanan yang diwakili oleh Kuartet 4 x 400 meter SMK Desa Skudai. Kontigen-kontigen yang terlibat ialah rumah-rumah sukan dan unit-unit beruniform sekolah. Pengetua SMK Desa Skudai, Puan Hajjah Fouziah Binti Abu Hamid memulakan ucapan alu-aluan kepada tetamu dan pelajar-pelajar diikuti oleh ucapan perasmian sukan oleh En Jason Teoh Siew Hock.

Sebaik sahaja tamat ucapan perasmian, upacara menaikkan bendera dan bacaan ikrar kejohanan dilafazkan oleh Saudara Norhaizam Bin Mohd Salleh atlet emas acara 800 meter lelaki 18 MSSD Johor Bahru. Para tetamu disajikan dengan persembahan-persembahan oleh para pelajar sekolah ini. Persembahan dimulakan dengan Gendang Cina. Selepas tamat persembahan yang pertama, para tetamu VIP diiringi oleh Puan Pengetua terus ke jamuan di bilik ERT SMK Desa Skudai. Persembahan diteruskan lagi dengan permainan Yoyo Cina diikuti oleh persembahan seni mempertahankan diri iaitu Teakwando oleh pasukan sekolah.

Acara sukan dimulakan dengan acara 200 meter semua kategori lelaki dan perempuan diikuti dengan penyampaian hadiah sebaik sahaja tamat acara 200 meter tersebut. Acara diteruskan lagi dengan acara 4 x 200 meter akhir bagi kategori perempuan dan lelaki bawah 14 tahun dan acara 4 x 400 meter bagi kategori lelaki dan perempuan bawah 18 tahun dan 16 tahun. Acara 4 x 50 meter guru menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh para pelajar dan telah berjaya dimenangi oleh guru rumah Biru. Acara terakhir ialah acara tarik tali akhir lelaki 18 diantara rumah Jingga dengan rumah Kuning. Keputusan acara tarik tali dimenangi oleh pasukan Rumah Jingga. Pertandingan perhiasan khemah dan perbarisan pula telah dimenangi oleh rumah Biru dengan markah 81.75 bagi hiasan khemah dan mendapat mata 266 bagi acara perbarisan rumah sukan. Manakala pasukan sorak diungguli oleh rumah Unggu.

Johan keseluruhan pada tahun ini telah diungguli oleh pasukan rumah Biru dengan mata keseluruhan 478. Manakala naib johan telah digondol oleh pasukan rumah Kuning dengan mata keseluruhan 425, diikuti dengan pasukan rumah Unggu dengan mata keseluruhan 416. Olahragawan Harapan 2011 disandang oleh Saudara Mohd Haikal yang telah memenangi 3 pingat emas dan 2 pingat perak manakala Saudari Siti Nor Azreena telah dinobatkan sebagai Olahragawati Harapan 2011 dengan pencapaian 4 pingat emas serta telah memecahkan rekod acara 200 meter dengan catatan masa 35.50 saat. Olahragawan pada tahun ini pula telah dimenangi oleh Saudara Sugedan A/L Santhirani (4UPSI) dengan 4 pingat emas dan memecahkan rekod acara 200 meter dengan catatan masa 25.21saat. Manakala Olahragawati 2011 pula telah disandang oleh Saudari Low Wai Hong (5UTHM) dengan pencapaian 3 pingat emas. Kejohanan Sukan Padang & Balapan Tahun 2011 telah ditutup dengan rasminya oleh Puan Pengetua, Puan Hajjah Fouziah Binti Abu Hamid tepat jam 12.00 tengahari. Upacara penutupan itu diikuti dengan penurunan bendera kejohanan dan diserahkan kepada Puan Hajjah Fouziah Binti Abu Hamid dan diakhiri dengan nyanyian lagu Negaraku.
































Pasukan Biru telah menjadi Johan Keseluruhan Kejohanan Olahraga SMKTDS Kali Ke-8 2011 untuk dua tahun berturut-turut.


Keputusan Penuh
Kejohanan Olahraga SMKTDS 2011





No comments: