About

14 February 2009

Amalan Makan Ulam




Amalan makan ulam sebenarnya sudah menjadi budaya masyarakat Melayu sejak turun temurun lagi.

Ada juga yang tidak berselera makan jika tidak disertakan ulam atau sayur mentah, paling tidak, timun yang biasanya dicicah bersama sambal belacan.

Selain dijadikan sebagai pembuka selera, ulam dikatakan antara makanan yang boleh membantu seseorang kelihatan awet muda dan cantik.

Ini disebabkan kebanyakan ulam atau sayuran berkenaan mengandungi banyak nutrien penting serta bahan antioksidan yang mampu menghalang tindakan radikal bebas.

Namun, ramai yang masih tidak mengetahui apa jua yang dinikmati hari ini sebenarnya pelaburan kepada kesihatan kita kelak.

Kesan pelaburan ini pula banyak bergantung kepada jenis makanan yang diambil kerana jika sering mengamalkan diet yang banyak mengandungi lemak, ia memungkinkan masalah pertambahan berat badan dan paras kolesterol.

Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan pula antara lain membantu diri kelihatan lebih sihat dan menarik.

Ketua Pemakanan, Hospital Pakar Ampang Puteri, Jennifer Chiam Chwee Lian, berkata kebanyakan ulam sesuai diamalkan setiap hari kerana ia mengandungi kandungan serat yang tinggi.

Menurut Jennifer, ulam boleh dikategorikan sebagai sayur mentah seperti salad dan ia tidak mendatangkan sebarang keburukan sekiranya dimakan setiap hari.

Katanya, ulam memang elok untuk kesihatan dan ia sudah menjadi amalan masyarakat negara ini sejak sekian lama.

“Ulam boleh dimakan setiap hari kerana ia tidak mengandungi kalori seperti sesetengah makanan lain. Tetapi harus diingat, ulam yang dimakan bersama sambal belacan tidak digalakkan untuk diamalkan kerana ia (sambal belacan) mengandungi kandungan garam serta kolesterol yang tinggi,” katanya.

Info ulam-ulaman:

# Pegaga

Pegaga, nama saintifiknya Cantella asiatica biasanya tumbuh melata di keliling rumah dan mempunyai pelbagai khasiat. Ia kaya vitamin dengan A dan C serta zat besi yang sering dijadikan sayur-sayuran ‘rasmi’ untuk wanita ketika berpantang.

Ia membantu membangkitkan selera makan, meredakan masalah penghadaman seperti buasir, menyejukkan badan, mempercepatkan proses penyembuhan luka dan melancarkan aliran darah, terutama bagi wanita yang ada masalah haid serta keputihan.

# Timun

Rawatan tradisional Cina menggunakan timun sebagai makanan kesihatan, khususnya untuk menyingkirkan bahan toksik dari badan.

Amalan makan timun juga boleh membantu mengatasi masalah sakit tekak, gatal kerongkong, batuk, merendahkan tekanan darah, menambah selera makan serta untuk penjagaan kecantikan kulit wajah.

# Cekur

Ia adalah ulam yang biasa daripada keluarga halia tetapi jarang mendapat perhatian. Cekur mempunyai banyak khasiat, khususnya untuk mengubati batuk, sakit tekak dan meredakan demam.

Selain dimakan mentah, hirisan akarnya boleh dijadikan perencah untuk menaikkan rasa masakan, mempunyai bahan antibakteria, antikulat dan antikeradangan.

# Kunyit muda

Walaupun rasanya kurang disenangi, kunyit muda sangat berkhasiat untuk dijadikan ulam.

Kajian yang dijalankan penyelidik Universiti Putra Malaysia mendapati, kunyit mengandungi curcumin yang memberikan warna kuning jingga berpotensi untuk merawat barah.

Selain itu, ia mengandungi banyak bahan antioksidan yang lebih baik berbanding vitamin C dan E, serta mampu melindungi sistem kardiovaskular, merendahkan kadar kolesterol dalam darah dan merawat demam kuning.

Pengamal perubatan tradisional Melayu menggunakan pati kunyit yang diberikan kepada wanita selepas bersalin untuk mempercepatkan penyembuhan luka dan mengecutkan rahim.

# Petai

Petai mempunyai bau kuat tetapi tetap menjadi kegemaran ramai, sama ada dimakan mentah atau dimasak bersama sambal tumis. Sebenarnya pucuk petai juga boleh dijadikan ulam dan ia dikatakan baik untuk membantu mengawal penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.

# Pucuk kaduk

Pucuk kaduk biasanya lebih kerap dijadikan bahan perasa masakan, tetapi ramai yang tidak mengetahui ia juga boleh dimakan mentah. Ulam ini mempunyai khasiat untuk membantu menguatkan tulang, melegakan batuk, selesema dan sengal sendi.

# Gajus

Rasanya yang masam menjadikan ulam ini sangat istimewa. Pucuk gajus dipercayai boleh mengubati masalah cirit-birit, mual dan muntah. Daun tua yang dilumatkan boleh dijadikan ubat untuk kulit melecur atau penyakit kulit lain.

# Lobak merah

Lobak merah jarang dijadikan ulam harian kerana ia biasanya dicampur dalam salad. Lobak merah kaya dengan vitamin A dan mineral seperti kalium, magnesium, fosforus dan sulfur.

Ia baik untuk membantu mengatasi masalah rabun malam akibat kekurangan vitamin A dan kandungan serat tinggi dapat memperbaiki gangguan saluran usus.

# Mengkudu

Pucuk mengkudu biasanya dimasak atau dicelur untuk dijadikan perencah urap dan pecal. Ia kaya dengan beta karotin dan zat besi yang baik digunakan untuk mengatasi masalah kurang darah.

Buah mengkudu masak pula mengandungi bahan antiseptik berfungsi melegakan kesakitan, bahan antioksidan, merangsang pengeluaran sel darah putih dan meningkatkan daya ketahanan badan.

# Jering

Walaupun berbau kuat, jering mempunyai khasiat perubatan tinggi. Ia kaya dengan protein, karbohidrat dan serat yang dipercayai membantu mengubati penyakit kencing manis.

SUMBER : http://serikasih.blogspot.com/2009/02/amalan-makan-ulam.html

RAHSIA PERGERAKAN OTOT DALAM SOLAT


Cuba kita kaji pergerakan otot-otot kita ketika solat. Secara kasar, pada mula kita berdiri tegak (qiyam) kemudian angkat kedua tangan bertakbir dan letakkan tangan di atas pusat - kita telah membesarkan rongga dada kita manakala paru-paru akan terasa luas serta menggerakkan otot di kedua belah tangan. Ketika rukuk dengan badan membongkok ke depan dan kedua tangan di atas kepala lutut dan punggung mendatar (parallel to the ground) sekaligus ianya menggerakkan ruas-ruas tulang punggung, tulang leher, tulang pinggang dan tulang tungkin.

Waktu sujud pula, seluruh berat badan terpikul sepenuhnya di atas otot-otot kedua-dua tangan, kaki.dada, perut, punggung, leher dan otot-otot kaki. Lihat sahaja pada waktu sujud ini berapa banyak otot dan persendian yang kita gerakkan. Setelah itu kita bangkit dari sujud. Kita duduk, kemudian kita sujud lagi dan selepas itu kita berdiri kembali. Dalam gerak badan kali ini kita telah secara automatik menggerakkan sejumlah besar otot-otot di dada, bahu, lengan, perut, punggung, peha, kaki bahagian bawahan lain-lain otot lagi.

Selain dari itu kita juga melakukan dua macam duduk - pertama duduk antara dua sujud dan kedua duduk tahiyat. Kedua-dua jenis duduk ini menggerakkan tumit , pangkal peha, kelengkang, jari-jari kaki dan lain-lain. Dalam kita memberi salam juga kita gerakkan otot-otot leher tengkuk dan lain-lain. Kalau kita lihat dari dua perkara tersebut di atas iaitu mendapatkan oksigen yang istimewa dan gerak otot-otot yang semuanya ini sudah tentu akan memastikan kesihatan tubuh badan kita.
Solat tahajud juga boleh menjauhkan penyakit buah pinggang yang selalu menyerang orang yang banyak tidur dan bangun lewat dari tidur malam.

Abdullah Ibnu Umar r.a. meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya :

"Zikir yang termulia ialah LA ILAHA ILLALLAH dan doa yang terbaik ialah istighfar."

STRES MUNGKIN BAIK UNTUK ANDA



Baru-baru ini seorang ibu membawa anak lelakinya yang berusia tujuh tahun menemui doktor pakar setelah anaknya mengalami demam yang berpanjangan sejak memasuki tahun satu sekolah rendah pada 5 Jan lepas.

Sebelum ini, doktor yang merawat budak lelaki tersebut telah menyatakan bahawa dia bebas daripada penyakit yang serius.

“Setiap kali saya bawa anak ke klinik atau hospital, mereka (doktor) hanya bagi ubat untuk demam. Ujian darah pula menunjukkan tiada apa-apa penyakit”, ibu tersebut, yang hanya mahu dikenali sebagai Rahimah, memberitahu penulis di sini baru-baru ini.

“Anak anda adalah normal. Mungkin dia stres kerana masih belum dapat menyesuaikan diri di persekitaran baru sekolah”, itulah antara kata-kata oleh pakar kanak-kanak tersebut kepada Rahimah semasa sesi rawatan di kliniknya.

APA ITU STRES?

Menurut Dr. Hans Selye, pengasas teori stres, stres merupakan satu gejala tindak balas yang tidak spesifik oleh individu terhadap beban yang datang dalam bentuk keresahan yang disebabkan cabaran, ancaman atau perubahan yang memerlukan respon.

Bertentangan dengan persepsi ramai orang, stres boleh dibahagi kepada stres yang baik atau positif yang dikenali sebagai eustress dan yang buruk atau negatif distress.

Pegawai perubatan di sebuah institusi kesihatan di ibu negara, Dr. S. Mogan berkata, stres yang positif boleh membuatkan seseorang lebih berhati-hati, fokus dan kreatif dalam kehidupan harian.

Menurut sejarah, Alexander Graham Bell mencipta telefon, alat yang mencetus revolusi dalam bidang perhubungan, ketika ingin membantu tunang beliau yang telah hilang pendengaran.

Sukar untuk didefinisi

Kata Dr. Mogan, memang sukar untuk memberi definisi mengenai stres kerana ia suatu aspek yang subjektif.

“Kalau anda tanya 10 orang tentang apa yang sebabkan mereka rasa stres, maka anda akan mendapat 10 jawapan yang berlainan.

“Sebabnya tiada definisi tentang stres yang dipersetujui semua, apa yang stres bagi seseorang mungkin perkara yang menyeronokkan atau tiada apa-apa bagi orang lain.

“Contohnya, penunggang motosikal akan berasa gembira bila dapat memecut kenderaan mereka manakala ini perkara yang menakutkan bagi orang lain. Menang dalam perlumbaan mungkin lebih stres daripada kalah tapi ini merupakan stres yang baik”, kata kepada Bernama.

Menurut pendidik Fatimah Mansur, stres melonjakkan produktiviti seperti bila pelajar menghadapi peperiksaan.

“Pelajar berusaha dengan lebih keras bila peperiksaan telah hampir manakala pekerja di pejabat bekerja dengan lebih cepat bila waktu pulang sudah dekat", kata beliau.

Fatimah berkata, orang ramai perlu mendapat stres yang sesuai untuk produktif dalam kehidupan seharian.

“Anda boleh guna dan gembleng stres untuk menjadi lebih produktif,” kata Fatimah lagi.

Risalah Kementerian Kesihatan

Menurut risalah yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, antara punca stres ialah beban kewangan, masalah rumah tangga, menunggu terlalu lama, mangsa buli, beban kerja yang tinggi, suasana persekitaran yang tidak sihat, rasa rendah diri, kesesakan jalan raya, serta tragedi.

Seseorang yang mengalami stres akan menunjukkan kegelisahan, risau keterlaluan dan gangguan emosi, insomnia (tidak dapat tidur), kurang fokus dan tumpuan kerja serta resah dan cepat marah.

Mereka digalakkan mengambil 10 langkah ‘B’ iaitu bertenang, bernafas dengan dalam, berkata ‘relakslah’, beribadat, bercakap dengan seseorang, berurut, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam dan berfikiran positif.

- Utusan

Sumber : http://serikasih.blogspot.com/2009/02/stres-mungkin-baik-untuk-anda.html

13 February 2009

Doa Senjata Mukmin




DOA SENJATA MUKMIN
Di saat manusia tidak dapat lagi berbuat apa-apa, selepas habis daya usaha dan tiada sesiapa lagi yang mampu memberi bantuan yang diperlukan, ketika itu manusia akan sedar bahawa sesungguhnya pada Allah saja yang dia mampu memohon pertolongan.

Doa adalah senjata umat Islam. Apabila seorang muslim dan seorang bukan Islam sama-sama berusaha sedaya upaya menggunakan akal dan tenaga mereka dalam mengerjakan sesuatu, umat Islam memiliki satu lagi kelebihan iaitu berdoa, berharap dan bertawakal.

Tawakal adalah perkataan Arab yang bermaksud pergantungan hati pada Allah dalam semua perkara selepas berusaha atau berikhtiar.

Firman Allah dalam Surah Al-Imraan, ayat 159, yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah amat kasih kepada orang yang bertawakal.”

Tawakal pula boleh dibahagi kepada tiga. Pertama, menggantungkan harapan kepada Allah kerana yakin dan percaya dengan kekuasaan-Nya.

Hati individu itu akan merasa tenang dan tenteram dan tidak mudah berpaling daripada jalan Allah.

Kedua, kepercayaan dan pergantungan yang lebih hebat dari peringkat pertama, hingga sebarang musibah yang menimpa dirinya akan segera dirujuk di jalan Allah.

Ketiga, seseorang itu tunduk patuh kepada Allah dengan kerendahan jiwa, rohani dan jasmani serta menunggu sebarang perkara yang ditakdirkan Allah berlaku ke atasnya dengan hati akur dan terbuka.

Imam al-Ghazali berkata, tawakal adalah sesuatu yang bersumberkan makrifat (pengenalan) sejati kepada Allah. Pengertian makrifat itu pula ialah tauhid yang dapat diterjemahkan dalam kata, “Tidak ada Tuhan yang Esa melainkan Allah, dan Dia adalah pemilik alam serta menguasai semua perkara.”

Pernyataan tauhid ini adalah satu pengisian kepada hati manusia yang beriman. Bagaimanapun, tauhid itu sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat.

Peringkat pertama: Sesiapapun akan mampu mengatakan bahawa Allah itu adalah satu dengan lidahnya, tetapi mungkin dalam hati kecilnya tidak diiringi dengan apa-apa makna kerana tidak ada keyakinan hakiki.

Peringkat kedua: Mempercayai terhadap apa yang dinyatakan hati, tetapi tidak pula mempunyai pengetahuan mendalam berkaitan hal itu.

Peringkat ketiga: Penerimaan kata-kata tauhid yang dinyatakan sebagai menggambarkan apa yang dilihat oleh mata adalah selari dengan apa yang iktiraf hati.

Sumber : http://serikasih.blogspot.com/2008/10/doa-senjata-muslim.html



Berdoa Ketika Susah dan Senang

Setiap kali selepas menunaikan solat lima waktu, kita digalakkan memanjatkan doa kepada Allah memohon supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan diberikan petunjuk serta hidayah semoga kita tergolong sebagai hambanya yang terhindar daripada azab api neraka.

Sesungguhnya doa adalah sebahagian daripada pelengkap ibadat yang wajar dilakukan seluruh umat Islam kerana Allah suka mendengar doa hamba-Nya.

Berkata seorang sahabat Rasulullah SAW, Fudalah Ibnil Ubaid: "Sesungguhnya Allah mendengar dengan penuh minat akan doa hambanya lebih daripada minat seorang tuan mendengar suara hamba perempuannya yang cantik sedang menyanyi."

Doa adalah perbualan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah dan setiap yang dimohon akan didengar Allah. Allah tidak suka kepada umatnya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya

Selepas berdoa disarankan supaya bertawakal kepada Allah supaya segala permohonan serta doa akan dimakbulkan. Allah berfirman yang bermaksud: "Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendahkan diri dan dengan suara yang perlahan serta bermohonlah kepada-Nya dengan perasaan takut serta penuh harapan, sesungguhnya rahmat Tuhan itu adalah dekat kepada orang yang berbuat kebajikan."

Nabi Muhammad SAW berpesan kepada umatnya supaya sentiasa berdoa kepada Allah sama ada pada masa senang atau susah. Jangan sekali-kali berasakan terlalu lambat doa hendak dimakbulkan hingga kita cepat berputus asa daripada rahmat Allah.

Sabda Nabi Muhammad SAW: "Jika anda mengenang Tuhan pada waktu senang nescaya Ia akan mengenang anda pada waktu anda susah".

Sesuatu yang sering diingatkan Nabi Muhammad SAW ialah supaya jangan memakan sesuatu yang haram, kerana doa daripada mereka memakan benda haram tidak akan dimakbulkan Allah.

Sabda Nabi Muhammad SAW: "Barang siapa yang ingin supaya Tuhan memakbulkan permohonan doanya pada waktu susah dan sempit maka hendaklah ia memperbanyakkan doa pada waktu ia senang lenang."

Tidaklah semestinya setiap doa itu akan segera dimakbulkan Allah. Oleh itu, kita sewajarnya jangan cepat berputus asa kerana dalam hal ini mungkin ada rahsia di sebaliknya atau padanya tersembunyi beberapa kebaikan dan manfaat yang tidak kita ketahui maksudnya.

Maka oleh itu adalah lebih afdal bagi kita untuk terus menerus berdoa kerana Allah sudah berjanji dalam firman-Nya yang bermaksud: "Bermohonlah kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankan segala permohonan kamu."

Jika menoleh kembali ke zaman silam, nescaya kita dapati bahawa nabi, khalifah serta sahabat Rasulullah SAW sering memanjatkan doa serta bermohon kepada Allah supaya mereka diselamatkan daripada bencana atau musibah ancaman musuh.

Apa yang berlaku kepada Nabi Musa sewaktu baginda dikejar tentera Firaun, lalu Nabi Musa berdoa serta bermohon kepada Allah. Maka terbelah laut dan selamatlah Nabi Musa daripada ancaman Firaun durjana.

Demikian juga dengan Nabi Ibrahim yang dicampakkan ke dalam api, lantas Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah, lalu api itupun serta merta menjadi sejuk dan dingin. Sesungguhnya banyak doa ada hikmah dan fadilat tinggi, terutama doa sering dibaca Nabi Muhammad SAW.

Antara doa masyhur yang sering dibaca Nabi ialah: "Ya Allah ya Tuhanku, aku bermohon keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah ya Tuhanku, jadikanlah semua perkara kami berakhir dengan baik dan selamatkan kami daripada menerima malu di dunia dan mendapat azab di akhirat. Ya Allah ya Tuhanku, berikan kami rezeki yang halal dan jadikanlah kami seorang yang salih. Ya Allah ya Tuhanku, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan lindungilah kami daripada seksa api neraka."

Sesiapa membiasakan dirinya berdoa sepanjang masa, nescaya akan terselamat serta terpelihara, mendapat kemenangan serta kebahagiaan. Sebaliknya, sesiapa tidak berdoa maka apabila ditimpa bencana atau musibah janganlah menyalahkan takdir Tuhan. Justeru, tidaklah Allah itu bersikap zalim dan kejam terhadap hambanya.

Antara doa paling cepat dimakbulkan Allah ialah doa orang yang sentiasa mengekalkan solat, doa orang bermusafir, doa mereka yang berpuasa dan doa mereka yang teraniaya.

Marilah kita menyedari hakikat bahawa doa mereka yang beramal salih adalah antara penyumbang kepada kesejahteraan dan keselamatan sesebuah masyarakat dan negara.

Segala bencana seperti kemarau, banjir, ribut taufan atau gempa bumi yang menimpa sesebuah negara adalah balasan Allah terhadap mereka yang melupakan perintah Allah.

Oleh Zahari Hasib

Sumber : http://serikasih.blogspot.com/2008/10/berdoa-ketika-susah-dan-senang.html


Panduan Ketika Berdoa

Dipetik dari buku “Kaifiyat Mempertajam Mata Hati Dalam Mengenal Allah” – Syaikh Ibnu ‘Athaillah Al – Sukandari.Dari Imam Al-Ghazali – beberapa adab yang mesti dipatuhi dan dilaksanakan oleh orang yang sedang berdoa:

ADAB ORANG YANG SEDANG BERDOA

1. Dilakukan pada saat-saat yang mulia, seperti hari ‘Arafah, bulan Ramadhan, hari Jumaat, antara dua khutbah solat Jumaat, antara azan dan iqamah dan sebagainya.

2. Dilakukan dengan penuh khidmat

3. Menghadap ke kiblat dan menadahkan kedua-dua belah tangan.

4. Merendahkan suara, sekadar dapat didengar oleh telinga sendiri.

5. Menggunakan bahasa yang sederhana atau lebih diutamakan menggunakan doa-doa yang berasal daripada Rasulullah saw, para sahabat dan tabiin.

6. Khusyuk dan merendahkan diri.

7. Meyakini bahawa doanya akan dikabulkan dan tidak merasa kecewa atau berputus asa apabila doanya belum dikabulkan.

8. Mengulang-ulangi doanya dengan penuh keyakinan.

9. Memulai doanya dengan menyebut nama Allah, memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi Muhammad saw, serta diakhiri dengan bacaan hamdalah atau kalimah yang memuji Allah.

10. Melaksanakan adab batin, yakni:

i. Bertaubat sebelum berdoa.

ii. Menghadapkan diri sepenuhnya kepada Allah.

iii. Makan dan minum serta berpakaian dari barang yang halal.

iv. Tidak meminta perkara-perkara yang mustahil.

v. Tidak meminta untuk mencelakakan orang lain, kecuali orang yang zalim.

Sumber: http://urutdanrawat.com/



SEMBILAN PETUA DOA DIMAKBUL

Berikut antara sembilan petua daripada Rasulullah s.a.w. untuk mencapai doa mustajab.

1. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Doa antara azan dan iqamat tidak akan ditolak."

2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: "Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: "Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya.

3. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Tiga orang yang tidak ditolak doanya iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka."

4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Aku dilarang membaca al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat antara hamba dan Tuhan-Nya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu."

5. Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah kerana sesungguhnya binatang itu melihat malaikat. "Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah daripada godaan syaitan kerana binatang tersebut melihat syaitan."

6. Ubadah bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. "Apabila beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah."

7. Ata bin Abi Rabah berkata: "Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang membaca surah Yasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan."

8. Hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: "Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: 'Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.'

9. Hadis daripada Abu Hurairah: Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: "Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bila mana seorang Muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu."

Sumber : http://serikasih.blogspot.com/2008/12/sembilan-petua-doa-dimakbul.html

 
Blogger Templates