About

Showing posts with label Tips buat Guru. Show all posts
Showing posts with label Tips buat Guru. Show all posts

11 February 2009

Sifat dan Ciri-ciri Seorang Guru Yang Perkasa



Dalam pencarian "Guru Sebenar Guru"... antara ilmu, amal dan bual; manakah satu yang sebenarnya bekal?

Ramai mengaku 'berilmu' tapi kurang berakal apatah lagi yang sedikit ilmunya tapi langsung tidak berakal; itulah punca amal dan bual tidak menjadi bekal.


Sifat dan Ciri-ciri Seorang Guru Yang Perkasa

Terhadap Murid: Guru ini menunjukkan

mempunyai empati dan komitmen dalam menghargai maruah orang lain (iaitu anak didik, ibu bapa dan rakan sejawat) dalam mengejar hasil dari segi afektif dan juga kognitif

hubungkan 'mata plajaran' dengan kehidupan murid-murid

kenal, hormati dan percayai murid-murid

mengajar murid-murid bagaimana hendak belajar, menganalisa dan berfikir secara kritis

menjana idea-idea baru dan menarik bagi murid-murid berfikir mengenainya

menggalakkan murid-murid bertanyakan soalan mengenai pelajaran

hadir dalam lain-lain aktiviti di mana murid-murid terlibat seperti sukan, persembahan muzikal dn kebudayaan.

Terhadap Mengajar: Guru Yang Perkasa

melakukan refleksi dan kritik-kendiri, mercu tanda profesionalisme seorang guru

berfikir secara sistematik mengenai amalannya dan belajar daripada pengalaman

adil dalam menilai dan menggred

fleksibel dalam pendekatan-pendekatan pengajaran dan pembelajaran

bersemangat dalam mengajar , murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran

seorang komunikator yang cemerlang; mampu menjadikan idea-idea yang kompleks mudah difahami dengan itu murid-murid dapat memahami dan menghargainya

sering mengukur kemajuan dan memberikan maklumbalas kepada murid-murid

merancang pengajaran terlebih dahulu, beri masa yang cukup bagi setiap tajuk, dan menyepadukan mata pelajaran

secara berterusan mengukur pendekatan, syarahan dan ujian-ujian bagi memastikan kurikulum yang sentiasa 'baru dan segar' serta relevan

menyertai jawatankuasa-jawatankuasa bagi menambahbaik sekolah, jabatan atau dirinya sendiri.


Terhadap Disiplin: Guru Yang Perkasa

seorang yang pakar dalam bidang yang dia ajar

seorang yang 'dahagakan' ilmu; sentiasa up to date dalam bidangnya dengan membaca; menghadiri konferens, konvensyen, bengkel dan seminar; dan mengikuti kursus-kursus dalam perkhidmatan

juga seorang yang suka 'belajar' perkara-perkara di luar bidangnya

aktif dalam penubuhan profesional dan menggalakkan rakan sejawat menyertainya

menjadi ahli kepada komuniti yang belajar

bina dan mengekalkan perhubungan profesional

bekerja dalam organisasi sekolah yang luas


Secara Peribadinya:
Seorang Guru Yang Perkasa itu sentiasa menunjukkan menunjukkan contoh dan teladan yang utuh di dalam atau di luar bilik darjah dan mengajar kebertanggungjawaban murid-murid serta standard yang tinggi. Peribadi guru yang perkasa lagi berkesan berfikirn terbuka, berlapang dada, merendah diri dan bersikap optimistik.

Sumber ini dipetik dari http://www.angelfire.com/journal2/fakir_zamani/ceramah9.htm

Cabaran & Harapan Dalam Pendidikan Negara



Dipetik dari sumber berikut : http://members.tripod.com/~Devadason/seminar/Muhd.html


OLEH

MOHAMAD BIN MUDA
KETUA PENOLONG PENGARAH
BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA.

"Malaysia mempunyai salah satu sistem pendidikan yang terbaik di Dunia Ketiga. Namun sebagai bekal kita harungi perjalanan pada generasi yang kedua ini, piawaian yang baru hendaklah ditetapkan dan matlamat baru hendaklah dicapai. (YAB Perdana Menteri, 1991)

Pendahuluan



Pendidikan adalah kepentingan awam. Peranan sistem pendidikan sangat penting dalam pembangunan negara. Pendidikan yang berkualiti dan cemerlang merupakan wahana uasaha membangunkan generasi alaf baru, yang akan menjelang dua tahun akan datang. Sistem pendidikan negara memerlukan usaha-usaha yang strategik yang boleh meningkatkan keupayaan dan kemampuan amalannya ke tahap kauliti yang tingggi dan cemerlang agar dapat menangani cabaran-cabaran abad ke-21.

Sistem pendidikan akan berubah sejajar dengan peubahan aspek ekonomi, budaya dan politik Perubahan aspek tersebut amat hebat dan pantas. Leka dan alpa boleh menyebabkan kita terpinggir dan tersingkir. Intellectual capital akan menjadi asas kukuh daripada kekayaan yang berupa tanah, wang atau bahan mentah. Budaya koperat yang berasaskan pendemokrasian kuasa akan menggantikan amalan hiraki tradisional. Persaingan melebihi batas kawasan kepada persekitaran sejagat dan terlalu sengit. Pendek kata prinsip dan nilai sejagat akan menentukan kejayaan sesuatu institusi, organsisasi atau negara. Oleh itu sistem pendidikan dan persekolahan dalam menghadapi gelombang perubahan alaf baru perlu berfungsi pada landasannya untuk menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.



Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad, dalam ucapan menyambut perayaan Hari Kebangsaan Malaysia ke-40 baru-baru ini, telah meminta rakyat supaya mencari strategi dan pelan baru bagi menghadapi alaf mendatang ini. Rakyat perlu melengkapkan diri dari segala sudut, dari ilmu pengetahuan yang berasaskan teknologi tinggi sehingga memupuk semangat kebangsaan yang unggul di dalam jiwa masing-masing. Jika rakyat tidak bersedia menghadapi perubahan dunia, negara pasti tidak akan mampu bersaing dengan negara-negara maju lain. Beliau mahukan pembangunan negara mestilah seiring dengan pembangunan rohaniah agar keseimbangan antaranya dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat medani. Kerap juga Perdana Menteri dalam ucapannya memberi ingatan "kita mahu menjadi negara maju dalam acuan kita sendiri".



Cabaran Alaf Baru



Perubahan-perubahan yang hebat dan pantas dalam aspek ekonomi, budaya dan politik itu sendiri adalah cabaran besar yang akan dihadapi oleh rakyat Malaysia. Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa sejak dari dahulu lagi cabaran-cabaran itu sudah wujud dan diperbincangkan tetapi kali ini dijangka lebih hebat dan kritikal dengan sumbangan teknologi yang baru. Masalah yang timbul dari cabaran tersebut seperti rohani, akhlak, sosial, politik, ekonomi, sains dan teknologi.

Dalam Persidangan Pendidikan Nasional Ke-5, dalam tahun 1997 yang lalu, natijah persidangan menunjukkan dua cabaran besar alaf baru ialah ledakan ilmu yang berbentuk global dan masalah sosial yang perlu ditangani dan diatasi ke arah membentuk masyarakat madani. Justeru itu agenda penting untuk membangun rakyat Malaysia melalui sistem pendidikan pertama ialah pembinaan budaya ilmu dan keduanya ialah pembudayaan masyarakat.

Pembinaan Budaya Ilmu

Ilmu merupakan faktor terpenting dalam menentukan kebahagiaan individu dan kejayaan serta kekuatan sesuatu bangsa dan negara. Ilmu membina kekuatan minda ke arah daya fikir tinggi (high order thinking) dan daya kreatif di kalangan indidvidu dan bangsa. Semua agama dan sistem sosial manusia mahukan ahlinya menguasai ilmu pengetahuan sama ada untuk kebahagiaan duniawi dan ukhrawi.

Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud, menjelaskan "Budaya Ilmu bermaksud kewujudan satu keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri baik secara langsung mahupun tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan keilmuan di setiap kesempatan: dan keadaan di mana segala tindakan manusia baik di tahap individu, apatah lagi di peringkat masyarakat, diputus dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan." Mengikut beliau lagi, budaya ilmu ialah satu budaya yang meletakkan nilai tertinggi dan asas kepada ilmu pengetahuan sebagai kunci segala kebaikan dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.

Para pendidik perlu sedar bahawa dalam usaha negara menghadapi masa depan yang penuh saingan, pendidikan adalah bersifat futuristik, maka kita hendaklah mampu menyediakan generasi muda kita untuk menghadapi keungkinan-kemungkinan berupa masyarakat industeri, ekonomi yang global, kebanjiran teknologi tinggi dan sentiasa bertambah canggih, penggunaan komputer sebagai keperluan urusan harian dan limpahan maklumat sejagat. Kita perlu lahirkan generasi berilmu untuk berfikir, bertindak dan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat berlandaskan skop yang global dan teknologi yang terkin, serta berupaya menangani gelombang perkembangan dan perubahan masa kini.


Pembudayaan Masyarakat Malaysia

Perkembangan ekonomi dan industri yang berlaku dengan pesatnya tidak bermakna jika tidak diseimbangan dengan kesejahteraan sosial, ketinggian rohani, kekuatan jiwa dan kebudayaan yang terpelihara. YAB Timbalan Perdana Menteri , Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, menganjurkan satu gagasan sosial yang memantapkan lagi bentuk acuan masyarakat maju Malaysia ialah dengan mengambil ciri-ciri madani. Mengikut takrif masyarakat madani ialah: "suatu sistem sosial yang subur yang diasaskan kepada prinsip moral yang menjamin keseimbangan antara kebebasan perseorangan dengan kestabilan masyarakat. Masyarakat yang mendorong daya usaha serta inisiatif individu baik dari segi pemikiran, seni, ekonomi dan teknologi. Sistem sosial yang cekap dan saksama serta perlaksanaan pemerintahan mengikut undang-undang dan bukan nafsu atau keinginan individu menjadikan keterdugaan (predictability) serta ketelusan (transprency) sistem.

Cabaran yang sedia wujud seperti masalah remaja, dadah, seks bebas, samseng sekolah, ponteng, dan berbagai kes salah laku perlu ditangani dengan bijaksana. Para pendidik seharusnya menghadapi cabaran ini sebagai satu peluang (opptunity) secara komited menggunakan wadah pendekatan nilai merentasi kurikulum persekolahan untuk membentuk masyarakat madani di kalangan pelajar dan masyarakat.

Peranan Pendidik



Tuntutan abad ke-21 dilandaskan kepada tuntutan Wawasan 2020 dan Wawasan Pendidikan. Selari dengan tuntutan-tuntutan tersebut penyediaan sumber manusia berkualiti hendaklah dihasilkan oleh sistem pendidikan kita.. YAB Perdana Menteri telah menggariskan ciri-ciri generasi yang hendak dilahirkan untuk mewarisi alaf baru akan datang iaitu:


a) kaya maklumat (termasuk sains dan teknologi)

b) kekuatan minda (krestif dan proaktif)

c)nilai-nilai luhur dan murni (termasuk penyayang)

d) semangat jati diri, jaya diri dan keusahawanan, dan

e) keterampilan


Untuk menentukan kehendak ciri-ciri manusia berkualiti tersebut dapat dihasilkan, maka para pendidik dan guru-guru pelatih, perlulah dilengkapkan dengan ciri-ciri berikut pula:


a) menguasai subjek (kandungan kurikulum)

b) mahir dan bertrampilan dalam pedagogi (pengajaran & pembelajaran)

c) memahami perkembangan murid-murid dan menyayangi mereka

d) memahami psikologi pembelajaran (cognitive psychology)

e) memiliki kemahiran kaunseling

f) menggunakan teknologi terkini

g) dapat menyaring dapatan-dapatan kajian dan penyelidikan mutakhir

h) boleh bekerjasama dengan rakan sejawat dan orang lain, dan

i) memiliki keyakinan terhadap peranan dan sumbangan sebagai pendidik.




Satu agenda dalam program pendidikan kini sebagai persediaan abad ke-21, ialah Sekolah Bestari. Pelaksanaan Sekolah Bestari turut mewujudkan transformasi dalam sistem pendidikan yang meliputi aspek kurikulum, sistem penilaian, pentadbiran, pengurusan pembelajaran. Implikasi kepada reformasi ini, memerlukan persediaan guru. Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd. Zahid bin Mohd. Nordin, memberi ciri-ciri guru bestari ialah guru-guru yang boleh dan bijaksana mengimbang keperluan Wawasan Pendidikan dengan tuntutan dan cabaran semasa. " Pendidikan Bestari antara lain menginginkan guru yang berketrampilan. Tingkat ketrampilannya bukan sekadar mengguna dan menguruskan teknologi, tetapi lebih penting berkeupayaan menyaring, mengadun, mengacuan setiap perkara seiring dengan tingkat ketahanan anak bangsa, sejajar dengan budaya halus masyarakat kita dan seterusnya menyumbang untuk terus memperkukuh asas kewujudan kita." (1997)

Merujuk kepada cabaran besar di atas, para pendidk mempunyai tanggungjawab melaksanakan peranan berikut secara komited dan ikhlas:

i) Membina Budaya Ilmu

ii) Kemampuan para pendidik ialah menyusun, dan mensepadukan ilmu dengan perkembangan semasa, seperti:


ii) Teknologi dan perkomputeran – para pendidik seharusnya mengorak langkah dan menggembleng peluang untuk melengkapkan diri berketrampilan sebagai pemimpin ilmu berasaskan teknologi serta bersedia menjurus kepada penguasaan dan penggunaan teknologi maklumat untuk pelbagai bidang dan menjadi mekanisme urusan harian.

iii) Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif – pelajar-pelajar mestilah dididik menggunakan daya fikir tinggi dan minda untuk melahirkan pelajar-pelajar untuk belajar sepanjang hayat dan mempunyai modal intelektual tinggi menghadapi era globalisasi. Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif perlu juga terarah kepada pandangan jauh dan luar biasa.


iv) Kebolehan menterjemah dan mengawal kurikulum yang luwes – Para pendidik seharusnya mempunyai kemahiran dan ketrampilan mengaitkan domain teori dengan praktis dan mesti bijak membina pengetahuan dan kemahiran secara developmental mengikut kadar pembelajaran (pace of learning) untuk mencapai kemahiran thoughtful learning. Kurikulum sepatutnya mempunyai ruang untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa berdasarkan keperluan negara, perkembangan semasa dan kemajuan sejagat. Kurikulum yang hendak digubal melalui Four Pillars of Learning iaitu:

@ Learning to know ( Belajar untuk menguasai ilmu)

@ Learning to do (Belajar untuk menguasai kemahiran)

@ Learning to be (Belajar untuk menjadi insan berguna)

@ Learning to live together (Belajar untuk harmoni dan bekerjasama)


Menerapkan nilai-nilai murni/moral/akhlak – nilai-nilai murni menitikberatkan perlakuan baik, peradaban dan tatasusila insan dalam hubungannya sesama manusia, alam dan Tuhan. Elemen ini sangat penting dalam usaha pembudayaan masyarakat yang dapat mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian negara.


Menguasai pengetahuan dan kemahiran industri – melahirkan generasi untuk pasaran tenaga kerja industri merupakan Dasar Pembangunan Negara. Usaha ini ialah sebagai sumbangan kepada melahirkan sumber manusia yang menyumbang kepada tenaga buruh yang berkualiti, seba boleh dan responsif kepada perubahan keadaan perindustrian. Kurikulum dan daya didik di dalam sistem pendidikan hendaklah berupaya merealisasikan masyarakat sainstifik, teknologis dan progresif yang inovatif dan berpandangan jauh ke hadapan.


Membentuk Masyarakat Madani

Pendidik yang profesional dapat menangani pengajaran dan pembelajaran yang dapat membudayakan masyarakat dengan amalan akhlak dan nilai-nalai murni. Perkembangan dan kemajuan dunia boleh mempengaruhi gaya hidup dan akhlak masyarakat kita. Usaha mengimbangkan perkembangan dan kemajuan dunia aspek teknologi maklumat dan industri hi-tech, dengan pembentukan rohaniah dan ketahanan diri diberikan perhatian serius. Maka konsep masyarakat madani merupa wadah untuk membudayakan masyarakat Malaysia. Kurikulum dalam sistem pendidikan kita sama ada secara formal atau tidak formal, mampu menyusun dan membentuk masyarakat madani. Dalam merancang pelaksanaan konsep ini beberapa perkara mesti diberi perhatian:

Prinsip berteraskan keimanan dan moral yang menjamin keseimbangan antara kekebasan perseorangan dengan kestabilan dan kesejahteraan masyarakat

Mendorong perkembangan indidvidu dari segi pemikiran, budaya, sosial, ekonomi, alam sekitar dan teknologi

Sistem sosial yang cekap dan saksama serta perlaksanaan pemerintahan mengikut undang-undang dan bukan nafsu atau kepentingan individu

Mengamalkan akhlak terpuji dan boleh diteladani

Usaha mewujudkan masyarakat madani diharap dapat melahirkan warga negara yang berpegang kepada teras keimanan dan ketuhanan, mempunyai ketahanan diri, memiliki identiti bangsa Malaysia, tahap kepimpinan yang dinamik, berpandangan jauh, kreatif dan inovatif, citra diri yang tinggi , berdisiplin dan amalan hidup yang cemerlang.


Kesimpulan

Perkembangan dunia aspek ekonomi, sosial, politik dan teknologi seharusnya menjadi indikator asas kepada sistem pendidikan dan persekolahan untuk memenuhi keperluan tenaga manusia yang berteraskan keilmuan yang berkualiti, asas nilai dan moral yang berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan, semangat patiotis dan memelihara perpaduan rakyat sebagai bangsa Malaysia, dan manusia yang bertaraf dunia. Para pendidik adalah wahana yang boleh menentukan corak manusia yang mampu menghadapi alaf baru, abad ke-21.

26 January 2009

Petua Seorang Guru


KALAU GURU…..

mengajar sambil duduk
murid belajar sambil mengantuk

mengajar sambil berlakon
murid belajar dengan tekun

mengajar tanpa alat
murid akan belajar dengan ralat

menjadi pemudah cara
ramai murid pandai berbicara

kurang merancang
dalam bilik darjah banyak temberang.

suka berdamping
banyak murid dapat dibimbing.

mengajar banyak bercakap
ada murid bertambah gagap

berbudi bahasa
akan dikenang sepanjang masa.

pentingkan diri sendiri
murid tidak akan menghargai
penuh tanggungjawab
disiplin murid mudah digilap

Guru Sepatutnya…..

Secara sedar menggunakan pelbagai pendekatan dan kaedah yang berbeza
mengikut potensi murid.

- Mempelbagaikan kaedah pembelajaran

Guru Sepatutnya…..

1) Menguasai pengetahuan dalam bidang yang diajarkan
2) Mengenal pasti potensi murid
3) Memberi latihan yang mencukupi dan mencabar
4) Mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokan dan berkesan
5)Bertindak sebagai pemudah cara dan bukan pemberi fakta
6) Mempelbagaikan aras soalan
7) Mahir memilih BBM yang sesuai


11 January 2009

Tips Pengurusan Kelas

Tips untuk cikgu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa menurut pandangan Dr. Fred Jones :

1. Wujudkan minat dalam diri anda terhadap pelajar. Guru perlu memiliki minat yang tulen terhadap pelajarnya. Terdapat dalam keadaan tertentu, guru memaksa diri untuk cuba meminati pelajar-pelajar di dalam kelas yang dianggap sebagai ‘bermasalah’, namun lama-kelamaan perasaan itu menjadi sesuatu yang benar, tulen dan ikhlas. Dengan itu cikgu akan kerap memberikan pujian dan kata-kata peransang kepada pelajar-pelajar. Guru juga harus kerap berkomunikasi/berinteraksi dengan pelajar secara individu dan bukan hanya berkumpulan sahaja.

2. Nyatakan peraturan kelas dengan jelas. Guru perlu melaksanakan peraturan kelas dengan adil dan konsisten.

3. Cuba fahami pandangan pelajar. Cikgu perlu meletakkan dirinya sebagai pelajar dan cuba melihat sesuatu dari sudut pandangan pelajar.

4. Guru juga manusia. Oleh itu, seharusnyalah sebagai seorang guru mengaku kesilapan yang mungkin dilakukan ketika menjalankan tugas. Gunakan pendekatan humor jika perlu bagi menarik perhatian pelajar dan mengurangkan ketegangan.

5. Minimumkan jurang atau jarak dengan pelajar. Sentiasa duduk di meja guru atau berdiri di belakang pelajar hanya mewujudkan jurang antara guru dan pelajar. Pelajar akan membuat tanggapan bahawa cikgu sengaja tidak mahu mendekati mereka.

6. Selesaikan masalah pelajar dengan segera. Ini dapat mengelakkan sesuatu masalah itu ‘berjangkit’ dan berlanjutan sehingga mungkin menyulitkan keadaan.

7. Gunakan kaedah berkumpulan (collaborative). Guru memberikan peluang kepada pelajar membuat keputusan di dalam kelas. Berikan kefahaman kepada pelajar bahawa kelas itu adalah ‘kelas kita’ dan bukan ‘kelas saya’. Wujudkan sikap kekeluargaan di dalam kelas.

Suasana kondusif sangat penting untuk mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Sumber ini dipetik dari Laman Web Rasmi SMK Tmn Universiti 2
 
Blogger Templates