skip to main |
skip to sidebar
Pada 6 Julai 2010 yang lepas, bertempat di Dewan Hayati, MAWAR, Johor Bahru, ahli-ahli Kelab Koir SMK Taman Desa Skudai telah menyertai "Pertandingan Koir Lagu-lagu Patriotik antara Kelab Rukunegara Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Negeri Johor 2010".Pertandingan ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Asolan A/L Muniyandy, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Johor.
Sebanyak 9 buah sekolah menengah telah mewakili daerah masing-masing ke pertandingan ini. Semua peserta daripada setiap sekolah menunjukkan persembahan yang mantap dan baik. Pasukan koir SMK Taman Desa Skudai tidak kurang hebatnya walaupun pada saat yang akhir pasukan Kelab Koir mendapati bahawa pihak penganjur tidak mempunyai "minus –one" untuk lagu wajib sebagaimana tercatat dalam syarat pertandingan. Keadaan ini tidak mematahkan semangat ahli-ahli Kelab Koir SMK Taman Desa Skudai dan semua ahli telah mendendangkan lagu wajib mereka secara "accapella". Persembahan pasukan koir ini nyata cukup membanggakan kerana telah memenangi hadiah Saguhati sebanyak RM200.00. Sesungguhnya pengalaman yang dikutip semasa hari pertandingan cukup memberi makna kepada setiap ahli Kelab Koir dan tidak ternilai harganya.Tahniah diucapkan kepada Kumpulan koir DOLCE dari SMK Taman Desa Skudai.
Disediakan oleh
SHAMITRA ANN FRANCIS
KUALA LUMPUR: Status keputusan rayuan permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf serta Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf sesi akademik 2010/2011 boleh disemak mulai 12 tengah hari esok.
Semakan itu boleh dilakukan melalui laman web rasmi Kementerian Pengajian Tinggi di http://www.upu.gov.my atau saluran hebahan menerusi laman web universiti yang dipohon calon.
Menurut kenyataan kementerian itu hari ini, calon boleh mencetak surat tawaran melalui laman web IPTA masing-masing dan membawanya sebagai dokumen rujukan bagi tujuan pendaftaran di IPTA berkaitan.
Kementerian juga menyatakan bahawa ia tidak melantik sesiapa sebagai ejen atau wakil dalam pengurusan pemilihan kes rayuan calon yang gagal mendapatkan tempat ke IPTA.
Ini kerana semua pengurusan pengambilan adalah diselaraskan melalui Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi (BPKP JPT) dengan mengguna pakai dasar, prosedur serta kriteria pemilihan yang ditetapkan kementerian.
Menurut kenyataan itu keputusan rayuan adalah muktamad dan rayuan calon dianggap gagal sekiranya mereka tidak menerima sebarang tawaran rasmi sehingga 31 Julai ini.
Calon juga dinasihatkan menggunakan kemudahan Hotline dan Helpline bagi sebarang pertanyaan dan kemusykilan menerusi talian 03-88835858 dan 03-88835848 untuk semakan dan bantuan.
Semakan boleh dilakukan di laman web berikut, www.jpt.uum.edu.my dan www jpt.utm.my.
Calon juga boleh menggunakan khidmat pesanan ringkas atau SMS dengan menaip UPU RESULT (No.KP) dan SMS ke 15888. - BERNAMA
Sumber dipetik dari Berita Harian Online